CALI

Curriculum and Learning Innovation

Anugerah Tokoh Akademik

GARIS PANDUAN DAN KRITERIA PENCALONAN DAN PANDUAN ANUGERAH TOKOH AKADEMIK 2022

Maklumat Berkaitan:

1.0 NAMA ANUGERAH

Anugerah Tokoh Akademik

 

2.0 LATAR BELAKANG

Anugerah Tokoh Akademik merupakan anugerah tertinggi universiti kepada pensyarah. Ia diwujudkan oleh UTM bagi memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada pensyarah yang telah menunjukkan kecemerlangan serta memberi sumbangan besar terhadap pembangunan dan peningkatan pendidikan di universiti ini. Anugerah ini dahulunya dikenali dengan nama Anugerah Tokoh Pendidik, tetapi mulai tahun 2010 ia diberi penjenamaan semula dengan nama Anugerah Tokoh Akademik. Penjenamaan semula ini adalah sejajar dengan usaha yang dilakukan oleh Kementerian Pengajian Tinggi yang telah memperkenalkan Anugerah Tokoh Akademik Negara.

 

3.0 KONSEP

Anugerah Tokoh Akademik merupakan anugerah tahunan berprestij tinggi dan diberikan kepada pensyarah berdasarkan kecemerlangan dan pengiktirafan yang telah diperolehi.

 

4.0 TUJUAN

Anugerah Tokoh Akademik ini bertujuan memberi pengiktirafan universiti yang tertinggi bagi pensyarah. Ia akan menjadi satu pelantar bagi mengiktiraf serta menyanjung para pensyarah yang telah menaikkan serta mengharumkan nama universiti di persada kebangsaan dan antarabangsa.

 

5.0 ASAS ANUGERAH

Anugerah Tokoh Akademik ini diberikan kepada seorang pensyarah yang komited, terlibat secara menyeluruh dan berterusan dalam proses penemuan ilmu, penjanaan kekayaan negara dan memenuhi aspirasi universiti sebagai jentera pembangunan Negara dan dunia ke arah meningkatkan kualiti kehidupan manusia sejagat.

 

6.0 KAEDAH PENCALONAN

  1. Dicalonkan oleh Jawatankuasa Pemilih Anugerah Tokoh Akademik UTM ; atau
  2. Dicalonkan oleh Sekolah / Fakulti / PTJ ; atau
  3. Pencalonan diri sendiri melalui sokongan Sekolah / Fakulti / PTJ

 

7.0 KRITERIA PEMOHON

Anugerah akan dipertimbangkan bagi calon yang telah :

  1. Menerajui secara holistik bidang pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan inovasi, perkhidmatan dan pentadbiran akademik.
  2. Berkhidmat sebagai pensyarah di universiti selama sekurang-kurangnya 15 tahun dalam kerjaya akademik.
  3. Menerima anugerah atau pengiktirafan ketokohan daripada universiti, badan profesional dan ilmiah yang berprestij pada peringkat universiti, kebangsaan atau antarabangsa.
  4. Mendapat anugerah atau pengiktirafan bagi sumbangannya selama 10 tahun kebelakangan dan tahun yang dinilai.
  5. Membawa impak secara langsung atau tidak langsung kepada universiti & masyarakat melalui aktiviti akademik yang telah dijalankan.
  6. Menunjukkan kecemerlangan secara berterusan dalam bidang akademik yang diterajui.

 

8.0 JENIS ANUGERAH/PENGIKTIRAFAN YANG DIPERTIMBANGKAN UNTUK PERMOHONAN ANUGERAH

  1. Anugerah/pengiktirafan akademik yang diiktiraf di peringkat universiti, kebangsaan atau antarabangsa.
  2. Penerimaan anugerah mestilah mengambil kira sumbangan dan impak calon dalam bidang akademik seperti yang tertera pada asas anugerah.
  3. Dalam kes zamalah, ia mestilah diperolehi berasaskan undangan, bukan permohonan.

 

9.0 KRITERIA PEMILIHAN ANUGERAH

Dalam penilaian untuk penganugerahan, sumbangan kumulatif calon berdasarkan kecemerlangan serta anugerah dan pengiktirafan yang diterima sepanjang dan selepas kerjaya akademik akan diambil kira. Huraian ringkas mengenai kriteria pemilihan adalah seperti berikut:-

A) Kelayakan, Keahlian dan Kepakaran (50%)

  1. Kelayakan akademik
  2. Bidang Kepakaran
  3. Keahlian dalam badan professional
  4. Keahlian dalam Jawatankuasa Profesional
  5. Ahli, Lembaga Penasihat/ Lembaga Pengarah di Peringkat Kebangsaan/ Antarabangsa
  6. Ijazah Kehormat

Jemputan/undangan (bukan permohonan) untuk menganggotai mana-mana badan/ pertubuhan/persatuan kecemerlangan di peringkat kebangsaan atau antarabangsa. 

B) Sumbangan dan Impak Sepanjang dan Selepas Kerjaya Akademik (100%)

Kecemerlangan dan sumbangan secara berterusan dalam kerjaya akademik dinilai berasaskan komponen berikut:-

i) Perlaksanaan Fungsi Pengajaran dan Pembelajaran (35%)

  • Pengajaran
    Pensyarah menunjangi tradisi ilmu: memahami, menghayati, mengamal dan menyebar untuk kesejahteraan manusia sejagat. Dalam melaksanakan tugas pengajaran dan pembelajaran calon hendaklah membuktikan yang beliau telah:
    1. Menunjukkan kemahiran profesional yang tinggi, penuh dedikasi dan iltizam serta tanggungjawab menggunakan teknologi terkini bagi memastikan pengajaran-pembelajaran, dan bimbingan mampu melahirkan pelajar yang berilmu dan berkemahiran selari dengan kriteria kualiti akademik yang ditetapkan,
    2. Menghayati nilai-nilai murni yang mencerminkan peribadi mulia sebagai pendidik agar menjadi teladan dan inspirasi kepada pelajar dalam pembentukan sikap, akhlak, pemikiran serta prinsip hidup mereka.
    3. Menunjukkan daya usaha yang tinggi berasaskan rasa ingin tahu yang tinggi, intelek, kebijaksanaan serta objektiviti bagi memastikan martabat ilmu dapat dipertahankan
    4. Mematuhi masa dan menggunakannya secara cekap dan berkesan dalam proses pengajaran-pembelajaran berkualiti.
    5. Berusaha secara berterusan untuk pembangunan diri dan kerjaya.
    6. Anugerah/pengiktirafan pengajaran dan pembelajaran pencapaian yang memenuhi aspirasi negara dan global
    7. Insan cemerlang yang dididik
  • Pembangunan pelajar
    Di samping menyumbang ke arah pencapaian cemerlang akademik pelajar, staf akademik juga berperanan untuk membangunkan sahsiah dan penampilan diri mereka. Pembangunan pelajar hendaklah menyeluruh dan bersepadu meliputi aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek bagi melahirkan pelajar cemerlang. Staf akademik berkewajipan menjadi penasihat dan pembimbing untuk membangunkan pelajar supaya mempunyai ciri-ciri kepimpinan, pemikiran yang positif, minda yang sihat dan sahsiah yang mulia. Bagi menyempurnakan tujuan ini, calon hendaklah membuktikan yang beliau telah: 
    1. Memberi khidmat nasihat, bimbingan, dan tunjuk ajar dengan amanah dan ikhlas bagi membantu ke arah pembangunan pelajar secara menyeluruh;
    2. Sentiasa peka terhadap permasalahan di kalangan pelajar dan berusaha membantu mencari penyelesaian serta sentiasa menjaga sensitiviti masyarakat dan negara;
    3. Berakhlak mulia dan terpuji untuk dicontohi oleh pelajar.

 

ii) Perlaksanaan fungsi Penyelidikan, Inovasi dan Perundingan (35%)

Penyelidikan sebagai kegiatan penemuan maklumat dan penghasilan reka cipta yang memberi jawapan kepada persoalan, masalah dan hipotesis merupakan fungsi ilmiah staf akademik yang menyumbang kepada peningkatan ilmu pengetahuan. Dalam melaksanakan fungsi ini calon hendaklah membuktikan yang beliau telah :-   

  1. Menjalankan kegiatan penyelidikan berterusan sepanjang kerjaya akademiknya dengan mengutamakan bidang pengkhususan dan kepakarannya;
  2. Menghayati etika kesarjanaan dan kejujuran akademik dengan mematuhi prosedur penyelidikan dalam pengumpulan data, penulisan laporan, dapatan kajian, dan penafsiran ilmiah;
  3. Sumbangan berimpak terhadap kesejahteraan hidup manusia;
  4. Amanah dan bertanggungjawab dalam penggunaan sumber penyelidikan;
  5. Anugerah/pengiktirafan penemuan ilmu, penjanaan nilai untuk negara dan pencapaian yang meningkatkan kualiti kehidupan manusia sejagat;
  6. Insan cemerlang yang dididik
  7. Penerbitan :
    1. Makalah dalam Jurnal
    2. Bab dalam Buku
    3. Ucaptama
    4. Artikel dalam media masa
  8. Senarai Projek Penyelidikan Utama;
  9. Senarai Harta Intelek dan Pengkomersialan;
  10. Senarai Perundingan;
  11. Senarai Insan Cemerlang Yang Dididik
  12. Penyelidikan Translasional: Projek komuniti yang dapat menjana pertumbuhan sosioekonomi

 

iii) Perlaksanaan Fungsi Perkhidmatan (10%)

  • Khidmat Masyarakat
    Bagi melaksanakan tanggungjawab sosial dan profesional, staf akademik digalakkan memberi sumbangan perkhidmatan dalam bidang kepakaran masing -masing untuk kemajuan universiti, masyarakat, dan negara. Bagi menyempurnakan tujuan ini calon hendaklah membuktikan yang beliau telah:
    1. Memastikan perkhidmatan yang diberi sebagai sumbangan ke arah pembangunan masyarakat dan kelestarian;
    2. Melaksanakan perkhidmatan sukarela ini dengan penuh kesungguhan;
    3. Keahlian dalam persatuan/pertubuhan di peringkat kebangsaan atau antarabangsa;
    4. Penglibatan dalam NGO/Persatuan/Pertubuhan Komuniti;
    5. Komuniti yang memperoleh manfaat

 

iv) Perlaksanaan Fungsi Pengurusan dan Pentadbiran (10%)

Semua staf akademik mempunyai fungsi pengurusan bagi melengkap dan memantapkan perlaksanaan tugas dan tanggungjawabnya.  Oleh itu calon hendaklah membuktikan yang beliau telah:- 

    1. Senaraikan jawatan pentadbir akademik yang pernah dipegang serta tempoh lantikan
    2. Nyatakan pencapaian dan penambahbaikan yang paling signifikan (maksimum lima) semasa menjadi pentadbir akademik

 

10.0 SYARAT DAN PERATURAN UMUM

Dalam penilaian untuk penganugerahan, sumbangan kumulatif calon berdasarkan kecemerlangan serta anugerah dan pengiktirafan yang diterima sepanjang dan selepas kerjaya akademik akan diambil kira. Huraian ringkas mengenai kriteria pemilihan adalah seperti berikut:-

  1. Pemohon ATA terbuka kepada semua pensyarah UTM.
  2. Pemohon hendaklah merupakan pensyarah yang berkhidmat sepenuh masa sepanjang tahun atau sebahagian daripada tahun yang dinilai di UTM.
  3. Pemohon telah berkhidmat di UTM sekurang-kurangnya selama lima (5) tahun secara berterusan.
  4. Permohon hendaklah menghantar butir jaya diri (CV) mengikut format dan disertakan dengan maklumat bukti yang sah dan lengkap.
  5. Anugerah tidak akan diberi sekiranya tiada calon yang layak pada tahun yang dinilai

 

11.0 NILAI ANUGERAH

Nilai anugerah berupa wang tunai RM5,000.00, plak, dan sijil.

 

12.0. JADUAL PELAKSANAAN ANUGERAH TOKOH AKADEMIK UTM 2O22

BIL AKTIVITI TARIKH TINDAKAN
1 Draf Iklan Web Citra Karisma 16 Feb – 23 Feb 2023 UTM CDex & BPO
2 Proses Permohonan/Pencalonan & Perakuan peringkat fakulti 7 Mac – 12 April 2023 Calon/Fakulti
3 Penyerahan Borang ke UTM CDex Sebelum 11 April 2023 Calon/Fakulti
4 Mesyuarat Penilaian Calon ATA 2021 26 April 2023 JK & UTM CDex
5 Penghantaran Maklumat Pemenang berserta Write-up 31 Mei – 9 Jun 2023 UTM CDex
6 Majlis Citra Karisma 2022 16 Ogos 2023  –

 

13.0 JAWATANKUASA PANEL PEMILIH

JAWATAN NAMA PTJ
Pengerusi Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) Pej TNCAA
Ahli Panel


Prof. Madya Ir. Dr. Hayati binti Abdullah UTM CDex
Prof. Madya Dr. Nurbiha binti A. Shukor UTM CDex
Prof. Emeritus Dato‘ Ir. Ts. Dr. Zainai bin Mohamed FK
Prof. Dr. Farahwahida binti Mohd Yusof FK
Prof. Dr. Naomie binti Salim FK
Prof. Dr. Nordin bin Yahaya FK
Urusetia Pn. Nuril Aini binti Ahmad Tohid UTM CDex
Cik Priscilla Prapagara UTM CDex